Isnin, 5 Januari 2009

KENANGAN SILAM

ORANG TUA 1
Masih lagi segar dalam ingatan peristiwa misteri yang berlaku ke atas diriku pada tahun 1984, Peristiwa bermula sewaktu aku menumpang di sebuah bilik oranggaji di rumah Tuan Kadi Daerah Segamat. Ketika itu aku baru berusia 21tahun masih muda dan mempunyai jiwa remaja yang bergelora.

Suatu petang dalam bulan September 1984, Sedang aku mengelamun diruang bilik yang sempit, aku terdengar sayup-sayup suara seseorang memberi salam diluar rumah Assalamualaikum, Assalamualaikum.. aku menjenguk kepala keluar dan terlihat seorang tua sedang berdiri di tepi sisi sebuah basikal tua. Lantas, aku menjawab Waalaikum mussalam. Ada apa hal pakcik kataku ….. boleh pakcik tumpang tanya ?…. Tok Kadi Mahmud ada dirumah tak . .. .. Kadi Mahmud ulangku semula? …. Kadi Mahmud dah lama pencen….tuan tak tinggal disini lagi.. sekarang ini Tuan kadi Hj Amir Danuri … kataku dengan nada bersahaja sambil memandang tepat pada wajah orang tua tersebut.

Dapatku lihat riak wajah rasa kehampaan …..timbul pula rasa kesian dihatiku, lantas aku mempelawa orangtua tersebut masuk ke dalam bilikku .. Dengan rasa penuh kesyukuran beliau berterimakasih padaku.

Dari pengamatanku, pakcik berusia dalam lingkungan 70-an tetapi masih tegap dan gagah berdiri. Dengan raut wajah yang berseri dan bersih, mendamaikan hati sesiapa yang memandang termasuk diriku yang begitu asyik memerhatikannya. Terdetik dalam hatiku pasti pakcik ini mempunyai ilmu yang tinggi dan bukan orang yang sebarangan. Ini kerana aku dapat rasakan begitu tenang dan damai sewaktu bersama pakcik.

Aku mula mengaru kepala, gaji belum lagi apa yang nak aku sediakan kan untuk makan malam kata hati kecilku ..aku teringat pesanan ibu, tetamu harus dilayan dengan baik dan sebolehnya diberikan makanan yang terbaik untuknya. Tapi aku hanya mampu goreng telur ayam masak merah . Ini pun jadilah kata hatiku. Pakcik ini sajalah rezeki kita malam ini kataku. Maklumlah orang bujang kataku sambil berseloroh dan cuba menutupkan kekurangan yang ada. Syukur alhamdulilah, ini pun dah cukup sedap katanya. Ini semua rezeki Allah kita harus bersyukur denganya yang penting dari mana datangnya rezeki ini, halal atau tidak. Jika daripada titik peluh kita sendiri kelazatannya tidak ternilai harganya. Selesai makan malam kami berbual sehingga larut malam dan ketika itulah pakcik banyak menasihatiku mengenai asam garam kehidupan .

Tidak sedar aku tertidur sehinggalah aku tersentak mendengar laungan azan subuh dengan nyaring yang begitu dekat denganku. Pakcik rupanya yang mengalunkan seruan azan tersebut begitu indah dan syahdu sekali sehingga aku terpaku mendengarnya. Pakcik mengarahkan aku segera mengambil wuduk agar dapat solat berjemaah bersamanya. Aku bergegas bangun dan mengambil wuduk dengan tertibnya. Syukur aku kepada ilahi kerana dapat berjemaah solat subuh dalam suasana yang cukup mendamaikan hati dan perasaanku. Ini ditambahkan lagi dengan bacaan ayat-ayat sucinya yang membuatkan aku terasa begitu kerdil sekali. Selesai solat aku mencium tangan pakcik dan terasa damai sekali dan teringat zaman kanak-kanak sewaktu solat berjemaah bersama keluarga dahulu.

Tepat jam 7.00pagi pakcik sudah bersiap-siap hendak bertolak ke destinasi seterusnya. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan yang aku berikan dan beliau amat menghargainya. Pakcik menerangkan yang beliau ingin ke Lenga untuk mencari pekerjaan bagi meneruskan sisa-sisa hidupnya. Pakcik memberitahu padaku bahawa beliau telah mengayuh basikal dari Felda Keratong dan akan meneruskan perjalanannya. Kalau sudah itu keputusan pakcik apa lagi yang boleh saya katakan ujarku dalam keadaan yang lemah. Ketika bersalaman aku terus memeluk pakcik terasa seolah-olah aku memeluk ayahku sendiri. Walaupun pakcik agak terkejut dengan tindakan ku tetapi beliau hanya tersenyum dan mengangguk-anggukan kepalanya. Pakcik mengusung dan terus mengayuh basikal tuanya meninggalkan aku keseorangan. Aku terus melihat pakcik gagah mengayuh basikalnya sehingga hilang dari pandanganku.


Setelah orangtua itu pergi, aku terus terfikir semalaman bersamanya aku terlupa nak bertanya nama dan tempat tinggal pakcik. Aku mula mencongak jarak dari Felda Keratong ke Segamat lebih kurang 40 batu dan jarak dari Segamat ke Lenga juga lebih kurang 40 batu, lantas aku terfikir dengan kudrat sebagai lelaki tua, dia tidak mampu mengayuh basikal yang uzur sejauh itu. Tanpa berlengah aku mengambil motosikal dan mencari orangtua itu tapi malangnya dia hilang begitu saja.

Persitiwa ini berlaku 24 tahun yang lalu tapi aku masih tertanya-tanya siapakah orangtua misteri itu. Adakah dia juga manusia sepertiku atau ia hanyalah ujian untukku melihat sejauhmana aku menghormati dan pengorbanan yang mampu aku lakukan terhadap orang tua tersebut sungguhpun aku tidak mengenalinya.



















ORANG TUA 2 –

PAK ONN.

Hidup bujang diperantauan menyebabkan alu lebih senang untuk bersarapan di luar sahaja. Sambil menjamu selera boleh juga menjamu mata dengan telatah dan kerenah manusia di waktu pagi mencari rezeki untuk keluarga tercinta.

Oleh itu, menjadi rutin pagi untukku bersarapan di Warong Pak Kamis sebelum ke pejabat. Kedudukan warong ini yang berhampiran dengan rumah sewaku memudahkan aku mengunjunginya. Malahan juadah yang disediakan juga memenuhi seleraku.

Sedang aku leka menikmati Nescafe tarik aku dikejutkan dengan suara orang tua meminta sebatang rokok daripadaku. Lantas aku mempelawanya dududk bersarapan bersamaku. Beliau menghulurkan tangan untuk bersalaman bersamaku dab memperkenalkan dirinya sebagai Pak Onn.Sebenarnya aku sudah mengenali Pak Onn dan dari perbualan pelanggan di warong ini aku telah mengetahui serba sikit mengenai kisah hidup Pak Onn.

Pak Onn meminta teh tarik untuk dirinya dan mula berbual denganku. Hati kecilku berdetik ramah juga Pak Onn tetapi ramai yang berkata bahawa beliau jarang sekali hendak berbual dengan sesiapa pun.

Sekarang Pakcik dan berusia 71 tahun, dahulu pakcik kerja jaga JKR dan berkhidmat selama 21 tahun. Sekarang bila dah pencen tidak boleh duduk sahaja mesti nak berjalan ke sana sini kalau duduk lama sakit-sakit badan pakcik ini katanya.

Pak Onn meneruskan omelannya, dia tahu ramai yang memperkatakan tentangnya tetapi dia tidak peduli melainkan menerima dengan hati terbuka. Malahan, kata-kata mengenai dirinya tidak dapat dielakkan kerana dia tidak dapat mengawal atau menutup mulut orang lain. Inilah realiti kehidupan dunia sebenarnya. Mementingkan diri sendiri. Suka mencampuri hal kehidupan orang lain biarpun hanya dengan kata-kata sahaja. Kata Pak Onn sambil menghirup teh tariknya. Pakcik boleh marah atau memaki dengan kata-kata kesat tetapi buat apa, kalau pakcik membalas kata nista mereka samalah pakcik dengan mereka. Jadi biarlah mereka beranggapan bahawa perbuatan mereka itu adalah hak individu dan mereka berhak untuk berbuat demikian.

Walaupun beliau berulang kali menyatakannya tetapi ada kebenaran apa yang dikatakan oleh Pak Onn. Mungkin Pak Onn lupa kerana usia semakin meningkat tetapi aku kagum dengan kesabaranya menerima tohmahan yang dilemparkan padanya.

Pak Onn menghabiskan minumannya kemudian bersalamam denganku lantas mengucapkan ribuan terima kasih kerana membelanjanya. Kata – kata Pak Onn masih lagi bermain difikiranku. Mungkin begilah nasibku satu hari nanti.




ORANGTUA 3

APAK

Cuti semester telah tamat, kesempatan ini ku ambil untu menghantar anakku ke UITM Seri Iskandar dan terus balik ke kampong halaman di Kampong Terengganu, Teluk Intan, Perak.

Setibanya dirumah aku terus memberi salam dan bersalaman dengan mak dan apak. Dengan rasa penuh hormat dan rendah diri aku menghulurkan tangan lantas memeluk mereka sorang demi sorang. Melihat keadaan apak hatiku menjadi sedih dan sayu sekali. Perasaan hiba hatiku bertambah lagi apabila apak bertanya siapa aku sewaktu bersalaman dengannya. Dengan menahan air mata dan sebak di dada, aku menyatakan saya adalah “ Din ” anaknya dalam nada yang cukup sayu. Sambil berlinangan air mata apak mendepakan tangan supaya aku memeluknya. Apak berbisik ke telingaku bahawa dia tidak sihat dan tidak sekuat dulu. Lantas apak meminta maaf kerana gagal mengingatiku. Air mata bergenangan di kelopak mataku apabila mendengar tutur kata apak yang lemah.

Kini apak telah berusia hampir 90 tahun. Kesihatan apak kurang baik dan ingatannya juga semakin kurang baik. Adakalanya apak ingat tetapi adakalanya apak lupa. Tapi yang menjadi kemusykilan padaku, apak masih ingat pada isteriku. Ini Endon kan ujarnya. Isteri ku tunduk bersalaman dengan apak penuh tertib dan sopan.

Semakin kita menginjak ke usia lanjut tahap kesihatan kita semakin menurun. Begitulah keadaan apak yang semakin dimamah usia. Apak cepat lupa walaupun sebelumnya apak telah solat tetapi apak akan solat lagi. Adakalanya apak akan bertanya pada padaku apak sudah makan ke belum? Hatiku semakin sedih bila mengenangkannya.

Tetapi hatiku cukup kagum dan bangga mempunyai seorang ibu yang begitu setia tanpa ada rungutan dan keluhan walaupun kerap melayan kerenah apak. Ini kerana adakalanya perangai apak tidak ubah seperti kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan belaian dari seorang ibu. Padaku, kasih sayang ibu tiada cacat celanya pada apak. Setiap hari ibu kan tidur lewat melayan kerenah dan kemahuan apak tanpa rasa jemu dan jelak padanya.

Mungkin inilah situasi dan keadaannya padaku suatu hari kelak. Adakah aku akan mendapat layanan sebaik apak atau sebaliknya. Ia terus menjadi igauan padaku jika ditakdirkan usiaku menjejak seusia apak.

Begitulah lumrah kehidupan, sihat berganti sakit dan muda berganti tua. Ingatlah tiada yang terkecuali untuk menghadapinya.




ORANG TUA

DIRI SENDIRI

Suasana hening di pejabat Penerangan Daerah menyebabkan aku leka seketika. Mengimbau kembali liku-liku perjalanan hidup yang penuh ranjau dan tiada noktahnya. Adakalanya aku alpa dengan kenikmatan dan keselesaan yang sementara yang kini aku kecapi.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara orang memberi salam. Aku menjawab salam dengan nada yang perlahan dan bertanya apa yang boleh saya bantu ujarku. Tuan empunya suara adalah seorang gadis dalam lingkungan 20an jangkaanku. Pakcik ada maklumat mengenai rukunegara, saya guru dari Sekolah Adela hendak buat program kenegaraan dengan pelajar-pelajar sekolah. Maklumat rukunegara yang tinggal cuma bahan bacaan sahaja tetapi tidak banyak, kalau hendak bolehlah ambil kataku padanya. Bolehlah pakcik daripada tidak ada, dari jauh saya datang kalau tidak dapat apa-apa sia-sia sahaja ujarnya.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan yang aku berikan. Setelah tidak lagi melihat kelibat gadis tersebut, hati kecilku berdetik. Cepatnya masa berlalu, dalam diam usiaku telah hampir separuh dekad lamanya. Jika mengikut kitaran hidup manusia aku telah sampai ke satu tahap yang sepatutnya dibanggakan dan sudah bersedia untuk menhadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku.

Tetapi betulkah aku telah bersedia untuk menghadapinya. Cukupkah bekalan yang aku sediakan untuk kesana kelak. Terasa getarannya dalam hatiku, mampukah aku menghadapinya.

Kepada sahabat-sahabatku seperti Suhairi, Sazali, Sabli dan yang lain-lain. Ingatlah masa tidak banyak lagi untuk kita dan penuhilah tuntutan hidup ini dengan bekalan yang mencukupi kerana kita semakin tua. Semakin tua dan semakin tua.